Kehadiran keluarga menjadi pencetus kebangkitan semangat buat Natasha Roslan selepas dia menduduki kedudukan teratas dalam pusingan ketiga Kejohanan Piala Dunia Boling Tenpin Ke-55 di Bandar Sukan Jakabaring, Palembang, Indonesia, hari ini.

Kehadiran bapanya, Mohamed Roslan Ismail, serta ibu dan adiknya menjadi perangsang utama kepada pemain elit boling kebangsaan itu, yang mencatatkan 215,166, 210, 226, 222 dan 186, untuk mengumpul 3,766 jatuhan pin bagi merampas tempat teratas daripada pemain Amerika Syarikat, Kelly Kulick, yang mendahului kejohanan semalam untuk berpuas hati di kedudukan kedua dengan 3,360 jatuhan pin.

Pemain Russia, Maria Koshel, naik dua tangga untuk meraih tempat ketiga dengan jumlah keseluruhan 3,710 jatuhan pin.

Mengulas mengenai prestasinya, Natasha, yang bermula cemerlang dengan mendahului pusingan pertama kelmarin, gembira dengan aksinya sambil menambah kehadiran keluarganya telah membangkitkan semangatnya untuk beraksi cemerlang dalam perlawanan hari ini.

“Penyokong utama saya (keluarga) berada di sini hari ini dan saya dapat lakukan balingan terbaik. Berada di kedudukan pendahulu adalah bonus dan saya dedikasikan kejayaan ini kepada ibu-bapa saya tetapi seperti yang saya katakan sebelum ini, saya hanya mahu menumpukan satu demi satu permainan dan melakukan balingan terbaik.

"Pendahuluan awal tidak memberi sebarang makna dalam kejohanan ini. Apa yang penting adalah persembahan pada saat-saat genting tetapi saya gembira untuk terus tekal kerana sekiranya ketinggalan, ia akan menambahkan tekanan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC) hari ini.

Sementara itu, pemain elit lelaki negara, Adrian Ang, terus bergelut di lorong untuk tergelincir di kedudukan ke-23 dengan 3,581 jatuhan pin selepas 18 permainan.

"Saya bermain dengan lebih baik tetapi sama ada balingan 'strike' tidak menyebelahi saya atau ia tidak menjadi," kata pemain Pulau Pinang itu yang beraksi dalam Kejohanan Dunia ketiganya selepas mengakhiri kempen di Venezuela pada 2006 di tempat ke-17 manakala di Johannesburg, Afrika Selatan di tempat ke-11.

Naib juara dunia 2015, Francois Louw dari Afrika Selatan, yang mengetuai cabaran sejak kelmarin, mengukuhkan kedudukannya dengan 4,210 jatuhan pin bagi mendahului pencabar terdekat, Oliver Moring dari Jerman, dengan kelebihan 300 jatuhan pin.

Pemain Finland, Niko Oksanen, tergelincir ke tangga ketiga selepas merakam 3,807 jatuhan pin manakala pemain veteran Indonesia, Ryan Leonard Lalisang, melonjak ke tangga keempat dari kedudukan ketujuh untuk sebaris dengan Jasem Alsaqer dari Kuwait dengan 3,796 jatuhan pin.

-- BERNAMA