Hasrat Fuchu Athletic untuk muncul juara Piala Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SAS) lebur selepas tewas 4-2 di tangan PTT Bluewave Chonburi dalam aksi final di Stadium Tertutup Sukpa, Kuantan, sebentar tadi.

Selepas menewaskan tuan rumah, Pahang Rangers, 3-1 semalam, Fuchu turun dengan misi mencipta kemenangan sekali gus muncul juara, namun dikejutkan dengan gol pembukaan lawan menerusi Warut Wansama seawal minit pertama.

Bagaimanapun, jaringan Uemura Atsuya dan Arai Yusei memastikan kelab dari Jepun itu mendahului sebelum rehat.

Namun, tiga gol dalam tempoh tiga minit babak kedua, bermula dari minit ke-36 menerusi Supakorn Sangon, Victor Malcom Campos serta jaringan jarak dekat Ronnachai Jungwongsuk memastikan Fuchu berputih mata sambil wakil dari Thailand, Bluewave Chonburi, muncul juara edisi kali ini.