Juara 2018, Sabah, dan Terengganu akan membuat perhitungan dalam final ragbi Piala Agong 2019 di Stadium UPM Serdang, Sabtu ini.

Sabah mara ke final selepas menyingkirkan naib juara tahun lalu, Kelantan, 100-0 dalam separuh akhir semalam sementara Terengganu pula mengatasi Johor 34-31.

Dalam perlawanan Sabah-Kelantan, pasukan Badak bimbingan Bradley Moni Mika itu jelas berada dalam kelas sendiri untuk memperoleh mata daripada 16 try dan 10 conversion.

Juara bertahan itu mendahului 66-0 dalam babak pertama dan menambah 34 mata dalam baki perlawanan selepas rehat.

Sementara itu, dalam satu lagi separuh akhir, jaringan daripada sepakan penalti di minit terakhir membolehkan Terengganu mengatasi Johor 34-31 untuk mara ke final.

Johor yang mempamerkan persembahan bertenaga mendahului 21-20 dalam separuh pertama tetapi tidak terdaya menyekat kebangkitan Terengganu yang mengikat kedudukan 31-31 sebelum mengatasi lawan melalui penalti di minit ke-79 itu.

Dengan kejayaan itu, Terengganu berpeluang mencatat kejayaan berganda selepas menjulang gelaran Kejohanan Ragbi 7s Kebangsaan di Ipoh, September lalu.