Status sebagai juara bertahan tidak memberikan sebarang kelebihan buat Johor dalam menghadapi aksi suku akhir Kejohanan Ragbi Piala Agong 2018 berdepan Negeri Sembilan, esok.

Ini merupakan kali kedua berturut-turut Johor dan Negeri Sembilan bertemu di peringkat suku akhir Piala Agong.

Tahun lalu menyaksikan Johor memenangi pertemuan itu dalam laluan mereka bergelar juara buat kali kedua selepas 2013.

Bagaimanapun, jurulatih Johor, Hamrizal Hamdan, percaya saingan kali ini lebih seimbang dengan kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan tersendiri untuk memperoleh kemenangan.

"Dalam skuad Johor, saya yakin dengan pemain saya untuk mereka memberi persembahan terbaik. Walaupun kami pernah berjumpa sebelum ini, begitu juga tahun lalu di peringkat suku akhir, ia bukan satu ukuran untuk menentukan aksi esok.

"Bagi saya, yang terbaik akan menang," kata Hamrizal.

Saingan peringkat kumpulan Perdana sebelum ini menyaksikan permulaan perlahan daripada Johor apabila tewas kepada Kedah dalam aksi pembukaan sebelum bangkit menewaskan Perak dan Terengganu.

Justeru, Hamrizal mengharapkan momentum itu dapat berkekalan di sebalik tempoh yang lama di antara aksi peringkat kumpulan menuju ke suku akhir.

Selain itu, kehadiran beberapa muka lama yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan turut menjadi sandaran.

"Walaupun tempoh berehat agak lama, iaitu hampir sebulan, kami melakukan persiapan dan aksi persahabatan. Pemain kebangsaan seperti Muhammad Uthman Danial Khairudin dan Wan Izzuddin Ismail tidak bermain sebelum ini, namun ada beberapa tonggak utama yang dapat kami kumpulkan tahun ini."