Ketua pasukan ragbi Terengganu, Syahir Asraf Rosli, menyifatkan penampilan pertama negeri itu dalam Kejohanan Piala Agong belum mencapai tahap terbaik.

Selepas meraih kemenangan 36-25 ke atas Johor dalam aksi pembukaan semalam, Syahir berkata masih ada kesilapan yang harus diberikan perhatian oleh Terengganu.

Bekas kapten skuad negara itu, begitupun, tetap memuji keserasian skuad bimbingan Izaimi Zainuddin itu yang berhasil menyerap tekanan ketika beraksi di tempat lawan.

"Kemenangan dalam perlawanan pertama adalah kemenangan yang penting, namun ia bukan aksi sebenar Terengganu," katanya.

Sementara itu, jurulatih Johor, Hamrizal Hamdan, mahu pasukan kendaliannya itu bangkit dalam aksi kedua menentang Kelantan minggu depan.

Hamrizal, yang juga bekas penolong jurulatih skuad kebangsaan, turut yakin Johor mampu meneruskan cabaran dan melepasi peringkat kumpulan dalam Divisyen Premier.

"Kami tidak memandang rendah setiap lawan kerana saingan Premier menampilkan empat pasukan terbaik negara.

"Peluang kedua di tempat sendiri ketika bertemu Kelantan nanti perlu dimanfaatkan," ujarnya.

Kredit foto: Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT)