Persatuan Hoki Perak (PHP) kecewa tiada pegawai Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hadir menyaksikan perlawanan akhir Liga Hoki Perak TNB-Quest di Stadium Azlan Shah, malam tadi.

Presidennya, Datuk Azhar Ahmad, berkata sepatutnya badan induk hoki negara itu menghantar wakil.

"PHP sudah menghantar jemputan kepada KHM. Mereka sepatutnya datang beri sokongan kepada program ahli gabungan," katanya selepas majlis penyampaian hadiah malam tadi.

Dalam perlawanan akhir itu, Universiti Antarabangsa Quest Perak (QIUP) Eagles menumpaskan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) 2-0 untuk muncul juara kategori lelaki.

SMK Gunung Rapat Highlander muncul juara kategori wanita selepas membelasah wakil dari Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah (UPSI), Tanjong Malim, Landak Hoki Muallim, 8-0.

Azhar berkata dia berasa malu kerana ramai pegawai-pegawai dari QIUP hadir ke majlis itu, termasuk mereka yang dari luar negara.

"Memang PHP kecewa dan hampa dengan tindakan KHM yang bagaikan tidak prihatin serta memandang dingin aktiviti anjuran ahli gabungan.

"Sebagai badan indu, ia sepatutnya bersatu tenaga dengan ahli gabungan dalam meningkatkan mutu dan memajukan sukan hoki," katanya.