Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) belum meletakkan sebarang sasaran khusus menjelang perjuangan mereka dalam Sukan Asia di Indonesia, Ogos depan.

Berdasarkan persembahan cemerlang yang dipamerkan ketika Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu, keyakinan semakin tinggi buat pesilat negara untuk memburu pingat dalam Sukan Asia.

Saingan di Jakarta bakal menyaksikan buat julung kali acara pencak silat dipertandingkan di pentas berkenaan.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, menjelaskan badan induk itu masih belum menetapkan sasaran.

"Saya masih belum menetapkan sasaran kerana mahu melihat sejauh mana tahap persediaan atlet negara. Apa yang lebih dirisaukan adalah penyertaan negara-negara baru.

"Kami sedang mendapatkan maklumat mengenai pasukan seperti Iran, Krygyzstan dan Turkemenistan. Mereka mempunyai fizikal yang bagus," katanya.

Saingan Terbuka Belgium menjadi penentu buat PESAKA untuk menyenaraikan pesilat yang akan membawa cabaran Malaysia dalam Sukan Asia nanti.

Secara keseluruhan, 13 pesilat negara akan mengambil bahagian dalam Terbuka Belgium dan setakat ini, Mohd Al-Jufferi Jamari cemerlang apabila menjuarai kategori Putera E dengan menewaskan pesilat Indonesia, Komang Harik Adi Putra.

"Kami akan membuat keputusan selepas mereka pulang. Setiap keputusan serta cara mereka beraksi akan dipantau tetapi saya yakin wakil Malaysia akan menampilkan aksi terbaik."