Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, menegaskan peruntukan sebanyak RM88 juta adalah perbelanjaan mengurus badan induk itu sepanjang tahun 2019.

MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) masing-masing menerima peruntukan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebanyak RM88j dan RM15j sebagai perbelanjaan mengurus.

Peruntukan berkenaan tidak termasuk dalam bajet penyediaan atlet ke temasya Sukan SEA Filipina 2019 dan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Program perlu mengekalkan infrastruktur, menyediakan khidmat sokongan dan penyediaan makanan.

"Perkara-perkara itu memerlukan perbelanjaan.

"Kami sebagai pegawai pengawal perlu menyelaraskan keperluan-keperluan tersebut, termasuk keperluan persatuan-persatuan sukan.

"Kami perlu duduk bersama dan membincangkan peruntukan-peruntukan yang perlu dikeluarkan," katanya.

Pada masa sama, Shapawi berharap setiap persatuan sukan kebangsaan menerima hakikat dengan kekangan kewangan yang dihadapi menerusi peruntukan RM100 juta bagi persiapan ke Sukan Olimpik Tokyo yang diumumkan dalam Bajet 2019.

Kerjasama semua pihak ditagih dalam membentangkan segala keperluan dalam Bengkel Penstrukturan Semula Program Latihan yang akan berlangsung esok dan lusa.

"Jika peruntukan itu hanya untuk persediaan ke Sukan Olimpik, banyak sukan-sukan utama terpaksa dipinggirkan.

"Kami perlu menstrukturkan semula perkara itu di bawah peruntukan RM100 juta," tambahnya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Nik Razeen Adam Daud, sudah bersedia dengan kemungkinan pengurangan bajet yang bakal diterima berbanding RM250,000 yang diberikan tahun ini.

Beliau akan membentangkan segala cadangan dan keperluan SRAM dalam bengkel tersebut.

"Ia merisaukan kami kerana skuasy merupakan salah satu sukan yang sentiasa menyerlah.

"Saya memohon kepada MSN supaya tidak meminggirkan sukan yang banyak memberikan kejayaan sebelum ini," katanya.

Atlet menembak negara, Jonathan Wong, yang berada dalam Program Podium hanya mengharapkan sukan menembak mendapat peruntukan secukupnya seiring dengan persiapan atlet berdepan Kejohanan Kelayakan Olimpik Tokyo 2020, tahun depan.

"Ia bukan di bawah kawalan kami dan saya harap pihak persatuan dapat menghasilkan perancangan yang lengkap," katanya.