Skuad gimnastik lelaki negara berada dalam situasi rumit untuk menyiapkan diri bagi menghadapi Sukan Komanwel Gold Coast 2018 apabila masih tidak mengetahui jumlah kuota yang diperuntukkan buat mereka.

Berita awal yang mereka terima hanya dua tiket yang akan diterima oleh skuad lelaki, dengan keutamaan penyenaraian adalah kepada pemenang pingat emas bersama kekuda berpelana Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Jeremiah Loo dan Tan Fu Jie.

Malaysia sentiasa berupaya mencabar pingat tetapi dalam kategori aparatus yang menampilkan juara dunia, Max Whitlock, persoalan timbul untuk memilih dua atlet dalam kategori yang sama, membuatkan jurulatih, Ng Shu Liang, memikirkan jalan untuk membawa lima atlet ke Gold Coast seandainya diberikan peruntukan.

“Saya rasa dua pemenang emas itu akan dihantar ke Gold Coast. Kami akan mengkaji barisan atlet daripada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

“Kelima-lima atlet kini sedang melakukan persiapan dan sama ada dipilih atau tidak, itu terserah kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM),” kata Shu Liang.

Cadangan untuk ujian pemilihan diadakan pasti disambut baik atlet yang tidak memenangi emas dalam temasya KL2017 seperti Chau Jern Rong dan pemenang perak senaman lantai, Zul Bahrin Mat Asri.

“Kalau Malaysia ingin menghantar pasukan, agak sukar untuk meraih pingat. Kini mereka ingin menghantar dua orang kerana ia prospek untuk membawa pulang pingat. Persaingan agak sengit untuk mendapatkan tempat.

“Apa yang boleh kami lakukan adalah meneruskan sesi latihan dengan baik,” tambah Jern Rong.