Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Perak, Howard Lee Chuan How, mengesahkan Sukan Malaysia (Sukma) 2018, September depan, akan tetap diteruskan walaupun kerajaan negeri sudah berubah.

Sukma Perak hanya akan mengalami perubahan kecil selepas kerajaan negeri bertukar.

Apa yang penting, ia akan diteruskan mengikut jadual, namun jumlah acara dan venue akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola di Ipoh, minggu depan.

"Mungkin ada beberapa pertukaran venue, bergantung kepada keputusan jawatankuasa, Menteri Besar (Ahmad Faizal Azumu) dan saya sendiri. Saya akan buat pemerhatian," kata Howard.

"Kami tidak ada memberhentikan apa-apa dalam penganjuran Sukma ini. Majlis Sukan Negara (MSN) masih lagi menyelaraskan daripada segi teknikal dan menyediakan sistem maklumat keputusan," kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Sukma dianjurkan buat kali pertama pada 1986 membabitkan atlet berusia 21 tahun dan ke bawah.

Temasya dwi tahunan ini menjadi medan terbaik atlet negeri merebut tempat mewakili negara.

Antara produk Sukma ialah ratu terjun negara, Pandelela Rinong, pelumba trek, Azizulhasni Awang, dan lelaki terpantas Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan.