Ketiadaan empat pemain senior yang mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama skuad kebangsaan tidak menjejaskan persiapan skuad bola jaring negara dalam misi mempertahankan gelaran juara dalam Kejohanan Asia, September depan.

Siti Norfarhana Mustafa, Izyan Syazana Mohd Wazir, S. Shandralelka dan Yap Suo Kuen merupakan empat tonggak utama yang tidak meneruskan latihan bersama skuad negara disebabkan kekangan masa untuk memberikan komitmen.

Namun, jurulatih, Choo Kon Lee, menganggap ketiadaan mereka sebagai satu cabaran untuk skuad remaja menggalas tugas bersama beberapa lagi pemain senior yang kekal beraksi seperti Norashikin Kamalzaman dan Nur Syafazliana Mohd Ali.

Kon Lee tetap percaya terhadap kebolehan anak buahnya dan ingin mereka menyesuaikan diri secepat mungkin dengan setiap taktikal yang diterapkan dalam latihan.

"Keyakinan amat tinggi kerana skuad remaja kebangsaan telah beraksi dalam kejohanan senior sebelum ini dan saya berasakan mereka mampu menggalas tugas yang lebih sukar," katanya.

Misi mempertahan gelaran juara dalam Kejohanan Asia menjadi keutamaan tatkala Kon Lee melihat peluang cerah untuk Malaysia ke final berdepan sama ada Sri Lanka atau pasukan tuan rumah, Singapura.

Skuad negara akan mula melapor diri berlatih pada Rabu depan.

"Dalam Sukan SEA, kami hanya bertemu Singapura tetapi kali ini kami akan bertemu Sri Lanka. Strategi akan memainkan peranan yang penting dalam kejohanan ini," katanya.