Pemilihan kerusi panas Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bakal menyaksikan saingan tiga penjuru apabila timbalan presiden, Datuk Akramuddin Abdul Aziz, turut sah bertanding merebut jawatan presiden bersama Datuk Markiman Kobiran dan penyandang, Datuk Seri Ahmad Ismail.

Saingan sebelum ini dikhabarkan menjadi satu lawan satu di antara Ahmad dan Markiman yang merupakan presiden Persatuan Sepaktakraw Selangor.

Bagaimanapun, Akramuddin, yang juga presiden Persatuan Sepaktakraw Melaka turut dicalonkan untuk jawatan presiden.

Lebih menarik, Akramuddin juga bakal mempertahankan jawatan sedia ada sebagai timbalan presiden PSM apabila turut bertanding menentang Bendahari PSM, Datuk Abdul Jalil Ariffin, dan pendatang baru, Tuan Syed Araniri Syed Ahmad Al Edroos.

"Dalam perlembagaan kita, calon-calon presiden mesti daripada presiden persatuan negeri manakala timbalan dan naib presiden terbuka kepada wakil persatuan negeri," kata Setiausaha Kehormat PSM, Datuk Radzuan Abdullah.

Kesemua nama yang telah dicalonkan diberi tempoh sehingga 20 Jun untuk mempertimbangkan sama ada akan bertanding atau menarik diri dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) PSM pada 24 Jun ini.

"Kita akan memberi peluang kepada calon-calon yang bertanding ini untuk pengesahan penerimaan atau penolakan.

"Untuk itu, saya tidak berhasrat untuk mengumumkan nama-nama yang membuat pencalonan," kata Radzuan.