Perlumbaan gunung paling mencabar di negara ini, Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu, tidak lagi akan diadakan selepas kali terakhir ia dilangsungkan pada 2017.

Perlumbaan yang sering menghimpunkan ramai peserta setiap tahun itu, sama ada dari dalam mahupun luar negara, telah diadakan sejak lebih 30 tahun lalu.

Pengarah perlumbaan, Zachary Mobijohn, berkata perlumbaan berprestij itu dihentikan kerana usaha bagi mempromosikan Gunung Kinabalu telah tercapai.

"Pada mulanya, tujuan utama perlumbaan itu diadakan adalah untuk mempromosikan Gunung Kinabalu dan kita telah mencapai sasarannya, malah ia juga terlebih promosi," katanya di Kota Kinabalu, hari ini.

Zachary berkata walaupun sedih dengan perkembangan itu, setiap permulaan pasti ada pengakhirannya.

"Gunung Kinabalu mempunyai had kapasiti atau jumlah maksimum bagi pendaki untuk berada di situ pada suatu masa dan antara tujuan kami menghentikan perlumbaan ini juga adalah bagi memelihara Gunung Kinabalu sebagai warisan dunia," katanya.