Ketua jurulatih Perlis, Manja Man, berharap Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) menyelesaikan tunggakan gaji pasukan yang sudah memasuki empat bulan atau terpaksa menyaksikan nama Perlis terkubur dalam persada Liga Malaysia.

Manja menjelaskan pemain sudah tidak lagi turun berlatih dalam masa terdekat sejak PFA gagal melunaskan sebarang gaji.

Walaupun pemainnya mendapatkan bantuan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dan menuntut PFA menyelesaikannya dalam tempoh sebulan, dia tidak yakin bayaran akan dibuat.

Ia berikutan PFA tidak lagi mempunyai presiden dan setiausaha yang telah meletak jawatan secara mengejut.

"Saya langsung tidak yakin. Jika saya yakin, harus difikirkan dari mana pihak PFA mahu mendapatkan duit? Kini, presiden lama telah meletakkan jawatan tanpa diketahui sebab ia berlaku. Ia dilakukan tanpa sebarang surat atau pengumuman. Jadi, PFA tiada sumber," ujar Manja.

Manja juga menjelaskan kemungkinan besar Perlis tidak lagi akan bermain dalam baki tiga perlawanan Piala FAM akan datang.

Walaupun keadaan itu akan membuatkan Perlis digugurkan penyertaan dan PFA digantung, Manja mengakui dia serta pemain sudah tiada pilihan lain.

"Sedih memang sedih, terutama saya daripada Perlis sendiri, pernah bermain untuk pasukan ini dan membawa Perlis menjuarai Piala Malaysia dan ke aksi final Piala FA tetapi apabila tiada dalam bola sepak Malaysia, ia amat sedih.

"Saya berharap selepas ini Perlis tiada lagi pegawai yang hanya mementingkan politik untuk terlibat dengan bola sepak," sindirnya.