Persatuan-persatuan sukan kebangsaan boleh mendapatkan perincian lanjut serta berbincang mengenai penstrukturan Program Latihan Atlet dalam bengkel dua hari anjuran Majlis Sukan Negara (MSN), minggu depan.

Bengkel berkenaan akan diadakan pada Selasa dan Rabu ini di Dewan Gimnasium 2, MSN Bukit Jalil dan diikuti pada Rabu dan Khamis ini di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia, Kampung Pandan untuk sukan para.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong, berkata bengkel berkenaan adalah kesinambungan daripada sesi taklimat khas kepada kesemua pemegang taruh kelmarin.

"KBS (Kementerian Belia dan Sukan) amat menghargai pandangan dan syor tentang penstrukturan semula program tersebut. Antaranya, timbul kemusykilan tentang peruntukan RM100 juta untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang diumumkan dalam Belanjawan 2019.

"RM100 juta ini adalah peruntukan khusus untuk penyediaan atlet ke Sukan Olimpik melalui program seperti Podium, Kita Juara dan Pelapis," kata Sim dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, bagi acara sukan yang tidak dipertandingkan dalam Sukan Olimpik seperti boling, sepak takraw, skuasy dan sukan lain yang berpotensi mencapai pingat emas dalam Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan SEA, turut akan mendapat perhatian demi kemajuan sukan Malaysia secara lebih menyeluruh.

Di samping peruntukan RM100 juta yang dinyatakan dalam Belanjawan 2019, beliau berkata MSN akan menerima peruntukan perbelanjaan mengurus RM88 juta manakala Institut Sukan Negara (ISN) pula sebanyak RM15 juta.

"Justeru, tiada sebab ada pihak gusar tentang kekurangan dana untuk pembangunan sukan. Dalam keadaan kewangan negara yang mencabar, kerajaan bertekad untuk terus memberi komitmen tinggi terhadap sukan.

"Tanggungjawab bersama KBS dan persatuan sukan kebangsaan ialah memastikan peruntukan wang cukai rakyat dimaksimumkan secara cekap, berteraskan akauntabiliti dan telus demi memajukan sektor sukan negara," katanya.

Sim berkata matlamat bersama KBS dan persatuan sukan kebangsaan melalui penstrukturan semula program latihan atlet kebangsaan ialah untuk memastikan atlet negara menampilkan prestasi cemerlang dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Malah, kesan limpahan daripada pembangunan model baru program latihan atlet itu akan dapat dijelmakan sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

"Beberapa program penajaan, pemasaran dan penjanaan pendapatan daripada sumber lain akan turut digerakkan bagi menjamin kelestarian peruntukan jangka panjang bagi menghasilkan atlet yang lebih berdaya saing pada masa depan," katanya.

Penstrukturan semula Program Latihan Atlet adalah susulan kegagalan Program Podium mencapai sasaran dalam Sukan Komanwel Gold Coast serta Sukan Asia Indonesia, tahun ini.

-- BERNAMA