Kerajaan negeri Perak bercadang menjadikan bandaraya Ipoh sebagai hab sukan yang dikenali sebagai Ipoh Sports City.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, menjelaskan kerajaan negeri sedang dalam perancangan untuk menubuhkan sebuah perbadanan bagi mentadbir dan menyelenggara segala prasarana sukan di Ipoh.

Ipoh Sports City ternyatakan akan menjadi satu hab sukan yang sama seperti Kuala Lumpur Sports City di Bukit Jalil.

"Saya telah umumkan tetapi dalam masa sama, perbadanan itu sedang melalui proses untuk dihidupkan. Ia akan memerlukan beberapa perkara daripada segi perundangan dan faktor lain dalam usaha menjadikannya perbadanan atau badan berkanun dalam kerajaan negeri Perak," ujar Ahmad Faizal.

Menteri Besar juga menambah kerajaan negeri Perak mengambil pengajaran daripada penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) sebelum ini di mana prasarana baru yang dibina menjadi terbengkalai.

Justeru, kerajaan negeri berharap prasarana seperti Pusat Akuatik Tunku Zara dan Stadium Ragbi Perak akan terus digunakan untuk sebarang kejohanan antarabangsa selepas ini.

"Jadi, apa yang kami cuba buat adalah memastikan acara-acara tetap diadakan. Kemudian, ia merangkumi penyelenggaraan yang baik dan dibuat secara berterusan.

"Kami juga cuba akan memastikan seluruh kawasan Ipoh Sports City ini hidup dan sentiasa wujud acara yang berlangsung," tambahnya.