Peningkatan tekal skuad futsal negara dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) daripada kedudukan 74 pada 2016 kepada 62 ketika ini menjadi petanda bahawa industri sukan itu berada di landasan betul.

Justeru, ia harus diperkemaskan demi memajukan lagi sukan berpotensi ini.

Pandangan itu disuarakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Muhammad Yadzan Mohammad, dalam Majlis Makan Malam Kejohanan Futsal Antarabangsa 2020 di Kelab Golf Diraja Perak (RPGC), malam tadi.

Naib Presiden PAFA itu, bagaimanapun, sedar ia bukan langkah yang mudah dan boleh dilakukan dalam masa singkat.

"Hanya dengan komitmen, sokongan serta usaha berterusan daripada pelbagai pihak dapat menjamin impian ini menjadi realiti," katanya.

Yadzan berkata langkah untuk menganjurkan kejohanan antarabangsa bagi merebut Piala Raja Nazhatul Shima dan Raja Iskandar Dzurkarnain itu bertepatan dengan matlamat yang disasarkan.

Raja Nazhatul Shima yang juga Raja Puan Besar Perak serta Raja Iskandar Dzurkarnain selaku Raja Di-Hilir Perak berkenan melakukan pelancaran kejohanan itu.


Editor: Shaiful Shamsudin