Acara tahunan Kejohanan Taekwondo Sekolah-Sekolah Perak (WTF) dan Kejohanan Taekwondo (WTF) Tertutup Perak di Ipoh semalam, mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih daripada 50 sekolah dan 26 kelab negeri mengambil bahagian.

Kejohanan dua hari itu menyaksikan lebih 850 atlet dari peringkat umur 9 hingga 18 tahun bertarung merebut gelaran dalam pelbagai kategori pertandingan.

Menurut Presiden Takewondo (WTF) negeri Perak, Dato Lee Kon Yin, kejohanan tahunan ini adalah platform terbaik mencari mencari pelapis baru untuk sukan ini.

"Ini adalah usaha mencari bakat dari akar-umbi. Pemenang atau mereka yang berbakat akan diserapkan untuk program pelapis, terutama untuk menghadapi Sukma tahun hadapan.

"Hasrat kami adalah untuk melihat Perak sebagai pencabar utama sukan ini dalam temasya itu nanti."

Kejohanan semalam turut menyaksikan SMJK Ayer Tawar muncul juara bagi kategori lelaki berumur 15-17 tahun dengan 2 emas 2 perak dan 1 gangsa manakala kategori yang sama bagi wanita, tempat pertama dikongsi Maktab Rendah Sains Mara Parit (MRSM) dan SMK Dato Haji Hussin apabila masing-masing mengutip 1 emas dan 1 gangsa.

Kejohanan ini turut disokong penuh oleh kerajaan negeri, Majlis Sukan Negeri, Jabatan Pendidikan Negeri dan Persekutuan Taekwondo Negeri Perak.