Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, yakin dengan kredibiliti atlet tuan rumah dalam menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) Ke-19 di Perak, September nanti.

“Saya yakin atlet Perak boleh kerana kita hebat,” katanya semasa berucap sempena majlis pelancaran logo, maskot dan lagu Sukma di Bulatan Amanjaya, Bandar Meru Raya, semalam.

Selain itu, beliau berharap Sukma Ke-19 akan menjadi temasya sukan terbaik yang pernah dianjurkan.

Pada majlis itu juga, maskot baru Sukma Ke-19 yang dikenali sebagai 'Chor' diperkenalkan dan lagu rasmi temasya berjudul ‘Wow! Kita The Greatest!’ ciptaan Datuk Wah Idris pertama kali didendangkan.

Majlis turut disertai Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Hampir 5,000 tetamu hadir.