Dalam kesibukan menghadapi kempen Liga Sepak Takraw (STL) 2019, Perak Bison tidak lupa melaksanakan program khidmat masyarakat di bawah tanggungjawab sosialnya.

Justeru, Perak Bison mengadakan klinik sepak takraw untuk kanak-kanak bawah 14 tahun di empat daerah.

Setiausaha Persatuan Sepak Takraw Negeri Perak (PERSEDAR) Mohd Jaffrey Mohd Zainol, berkata empat daerah itu ialah Bagan Serai, Manjung, Tapah dan Ipoh.

Katanya, program pertama iaitu di Bagan Serai sudah dilaksanakan pada 1 Oktober lalu manakala di Manjung (22 Oktober), Tapah ( 23 Oktober) dan Ipoh ( 2 November ).

Menurut Jaffrey, program di Bagan Serai disertai lebih 100 kanak-kanak dari 19 sekolah di daerah Kerian, Larut Matang dan Selama dan Hulu Perak.

Beliau berkata semua pemain, termasuk pemain import, Natthawut Naewprom, akan turut serta dalam semua klinik untuk pembangunan sukan sepak takraw negeri.