Peninju Russia, Maxim Dadashev, menemui ajal pada usia 28 tahun selepas mengalami kecederaan otak dalam kekalahan kepada Subriel Matias.

Dadashev tewas kepada Matias dalam pusingan ke-11 dalam perebutan tali pinggang kelas Welterweight IBF di Maryland, Jumaat lalu, dengan jurulatihnya, Buddy McGirt, menuntut perlawanan itu supaya dihentikan.

Selepas pertarungan itu, Dadashev dibawa meninggalkan gelanggang dengan pengusung selepas dia muntah ketika menuju ke bilik persalinan.

Dia menjalani pembedahan ekoran pendarahan otak, seterusnya diletakkan dalam keadaan koma.

Jurucakap kepada penganjur Dadashev, Top Rank, semalam mengesahkan kepada Omnisport bahawa peninju itu meninggal dunia akibat kecederaan.

Organisasi itu mengeluarkan satu kenyataan dengan menyatakan: "Seluruh ahli keluarga Top Rank meratapi pemergian Maxim Dadashev. Maxim merupakan seorang pejuang berbakat di gelanggang serta seorang suami dan ayah yang baik di luar gelanggang.

"Takziah kepada keluarga dan rakan-rakannya."

Dadashev telah memenangi 13 pertarungan sebelum tumbang kepada Matias.

Sementara itu, Persekutuan Tinju Russia sedang menyiasat kematian Dadashev.

Setiausaha Agung Persekutuan Tinju Russia, Umar Kremlev, mendedahkan bahawa beliau telah memulakan siasat terhadap keadaan yang menyebabkan kematian peninju itu.

Kremlev berkata persekutuan itu akan memberi sokongan kepada keluarga Dadashev sambil menambah: "Saya fikir faktor campur tangan manusia mengundang kepada kematiannya selain terdapat beberapa pelanggaran peraturan."

Balu Dadashev, Elizaveta Apushkina, seperti yang dipetik dalam satu kenyataan yang dilaporkan oleh ESPN berkata: "Dengan kesedihan yang teramat ini, saya mengesahkan kematian suami saya, Maxim Dadashev.

"Dia adalah seorang yang sangat baik yang berjuang sehingga akhirnya. Anak kami akan terus dibesarkan untuk menjadi seorang yang hebat seperti bapanya.

"Akhir sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang merawat Maxim pada hari-hari terakhirnya. Saya minta semua orang agar menghormati privasi kami dalam tempoh yang sukar ini."