Perenang negara, Welson Sim, mengabaikan rasa sakit ekoran kecederaan kaki yang dialami dua minggu lalu demi menjaga kecergasannya menjelang persediaan ke Sukan Asia Jakarta/Palembang, Ogos depan.

Tindakan Welson itu dianggap berisiko, namun atlet itu memiliki alasan tersendiri untuk meneruskan latihan seperti biasa selain tampil dalam Kejohanan Renang Terbuka Malaysia kali ini.

Tahap kecergasan yang kurang memuaskan menyaksikan atlet kelahiran Sarawak itu lebih berhati-hati dalam penampilan hari pertamanya dalam kejohanan itu.

Dia memastikan pingat emas dalam genggaman bagi acara kegemarannya, iaitu 400 meter gaya bebas, namun daripada segi catatan masa, Welson ternyata tidak berpuas hati.

"Mujur ia hanya melibatkan lebam di otot dan tiada apa-apa keretakan tulang.

"Kecederaan ini memerlukan tempoh lebih lama untuk pulih," kata Welson.

Bagi acara lain, Wong Fu Kang menepati kedudukan selaku pemenang emas untuk Johor bagi acara 100 meter kuak dada lelaki menerusi catatan 1 minit 3.43 saat manakala perak milik Ng Jing Fu dari Selangor dan wakil Melaka, Foong Wei Tze, sekadar gangsa.

Tiada saingan mencabar untuk Tern Jian Han bagi acara 50 meter kuak lentang apabila emas memihak kepadanya menerusi catatan 25.67 saat, sementara perak menjadi milik peserta jemputan dari Lithuana, Arijus B Pavlidi, manakala gangsa dibawa pulang oleh Owen Allywood dari Wilayah Persekutuan.


Keputusan final lain pada hari ini:

50m kuak lentang lelaki: Tern Jian Han (Johor)
50m kuak lentang wanita: Stephanie Au (Hong Kong)

100m kuak kupu-kupu lelaki: Jie Chan (Selangor)
100m kuak kupu-kupu wanita: Chan Kin Lok (Hong Kong)

100m kuak dada lelaki: Wong Fu Kang (Johor)
100m kuak dada wanita: Rainbow Ip (Hong Kong)

400m gaya bebas lelaki: Welson Sim (Sarawak)
400m gaya bebas wanita: Hoi Kiu Lam (Hong Kong)

4x100m rampaian lelaki: Selangor
4x100m rampaian wanita: Hong Kong