Bekas Mr Universe, Sazali Samad, tidak mengendahkan penggantungan lanjutan dijatuhkan terhadapnya oleh Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) sehingga 2023.

MBBF hari ini mengumumkan tempoh penggantungan Sazali ditambah empat tahun lagi.

Sazali sepatutnya tamat penggantungan pada 2019 akibat terlibat dengan pengunaan bahan terlarang steroid pada 2015.

Sazali ketika ditemui berkeras enggan merayu kepada MBBF untuk dikurangkan tempoh penggantungannya mahupun membawa kes ini ke mahkamah, sebaliknya tidak mahu mengendahkan segala dakwaan dibuat pada dirinya dan akan terus menyertai kejohanan bina badan.

"Walaupun ditambah empat tahun lagi, saya akan teruskan perjalanan saya seperti biasa. Saya akan bertanding, tidak peduli. Itu (penggantungan) terpulang kepada mereka.

"Bukan kata saya, ada atlet lain yang digantung seumur hidup pun boleh terlibat," katanya.

Kes Sazali mendapat perhatian setelah dia didapati menyertai dan memenangi satu kejohanan bina badan di Shanghai, China baaru-baru ini meskipun masih dalam tempoh penggantungan.

"Saya minta Pesuruhjaya Sukan, Adamas (Agensi Anti Doping Malaysia) atau SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk buat siasatan.

"Memang itu yang saya mahukan. Biar sama rata. Bukan kata hanya saya, dia pun boleh dikenakan hukuman," katanya lagi.