Ketua Pegawai Eksekutif, Le Tour de Langkawi (LTdL), Emir Abdul Jalal, memberi amaran terhadap 20 pasukan bertanding dalam edisi ke-22 supaya tidak terbabit dengan bahan terlarang atau mereka akan menerima nasib sama seperti pasukan Pishgaman Cycling.

Penganjur terpaksa menolak permohonan Pishgaman Cycling untuk menyertai edisi tahun ini selepas pelumbanya, Rahim Emami, dikesan positif doping.

Sampel air kencing Rahim didapati mengandungi steroid selepas dinobatkan sebagai pemenang jersi kuning atau juara keseluruhan dalam Jelajah Malaysia tahun lalu.

Ia adalah kes kedua membabitkan pelumba Pishgaman Cycling selepas seorang lagi pelumba kelahiran Iran, Naser Rezavi, turut positif bahan sama selepas menyertai Jelajah Malaysia 2015.

"Dari awal lagi, saya telah meletakkan satu prinsip tidak akan mengambil pasukan yang ada sejarah doping yang besar," kata Emir.

"Kerana itulah, apabila mereka mengemukakan niat untuk bertanding, saya bertegas tidak akan mengambil mereka."

Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), pada 10 Februari lalu, mengumumkan pasukan bertaraf antarabangsa itu digantung untuk tempoh 15 hingga 45 hari.

Setakat ini, LTdL kekal dengan penyertaan 20 pasukan, termasuk tiga wakil negara, iaitu Terengganu Cycling Team (TSG), Sapura Cycling Team dan skuad kebangsaan.