Presiden baru Majlis Olimpik Malaysia (MOM) haruslah dipilih berdasarkan pengalaman yang dimiliki dalam bidang sukan dalam usaha menaikkan nama negara ke peringkat yang lebih tinggi.

Tunku Imran Tuanku Ja'afar, 68, mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi itu dalam Mesyuarat Agung Tahunan MOM bulan depan sejak menggalas tanggungjawab berkenaan pada 1998.

Beliau menyuarakan rasa bangga kerana menerajui badan induk itu ke tahap yang lebih baik sambil menganggap ia masih mempunyai potensi untuk dimajukan lagi.

"Kami mempunyai organisasi yang baik dan saya berharap barisan baru nanti akan meneruskan usaha dan terus mempertingkatkan MOM. Sentiasa ada ruang untuk memperbaiki sesuatu.

"Kami telah membina asas sukan di negara ini. Kini sudah ada beberapa sukan yang mampu memenangi pingat. Kita melihat perkembangan dan program pendidikan juga berjalan dengan sangat lancar," katanya dalam temubual Nadi@1, sebentar tadi.

Empat hari lalu, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria diumumkan menang tanpa bertanding jawatan presiden untuk pemilihan dalam mesyuarat agung badan induk itu pada 5 Mei ini.

Selain pengalaman, beberapa elemen lain turut digariskan Tunku Imran bagi memastikan sukan di negara terus berkembang.

"Mungkin didorong oleh masa, sesetengah individu belum bersedia untuk jawatan presiden tetapi saya percaya jika anda mahu menjadi presiden kepada organisasi seperti MOM, adalah penting untuk seseorang itu mempunyai elemen pengalaman.

"Sudah tentu elemen lain juga penting seperti masa, dedikasi dan integriti. Inilah nilai yang perlu dilihat bukan sahaja untuk jawatan presiden, malah untuk keseluruhan pegawai," tambahnya.

Bagaimanapun, Tunku Imran menuntut lebih ramai atlet tampil memainkan peranan di dalam persatuan sukan kerana pengalaman mereka sangat berharga.

"Saya bersetuju 100 peratus.

"Saya merupakan bekas atlet skuasy. Ia pencapaian hebat saya sebagai atlet, termasuk ketika memenangi Kejohanan Skuasy Kebangsaan sulung selain terbabit dalam siri jelajah pasukan kriket kebangsaan.

"Pengalaman itu membantu saya dalam pengurusan sukan. Saya ingin mencadangkan bahawa mereka (bekas atlet) perlu membabitkan diri dan bermula sebagai ahli jawatankuasa terlebih dahulu.

"Baru-baru ini, kami telah menubuhkan jawatankuasa atlet. Kami mula mendedahkan bekas Olimpian negara dalam Sukan Olimpik Remaja. Kami cuba menggilap mereka sebagai sebahagian daripada proses untuk memperkenalkan mereka dalam bidang pengurusan.

"Ia bukanlah tugas yang rumit dan dengan pengalaman yang dimiliki, mereka pasti mampu melakukannya dengan lebih baik lagi berbanding pihak lain," katanya lagi.