Tanggungjawab sebagai jurulatih ternyata membuka mata bekas pemain skuasy wanita negara, Delia Arnold, terhadap cabaran melahirkan seorang juara.

Dia merupakan jurulatih wanita tunggal dalam skuad kebangsaan yang diselia oleh ketua jurulatih, Ajaz Azmat, dan berbeza dengan pengendali lain, Delia memiliki pengalaman sebagai bekas pemain yang pernah beraksi di pentas tertinggi dunia.

Bagaimanapun, bekas pemain berusia 33 tahun itu menegaskan bahawa tanggungjawab sebagai jurulatih menawarkan perspektif berbeza terhadap sukan yang menjadi keghairahannya itu.

"Sewaktu bergelar pemain, saya hanya fikirkan diri sendiri dan tingkatkan kemampuan individu. Kini, selepas menjadi pengendali, saya perlu ambil berat tentang pemain yang memiliki perwatakan berbeza. Jadi, saya perlu cipta program berbeza buat mereka," katanya.

Buat masa ini, Delia diberi tugas memantau kudrat pemain remaja negara di bawah program Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

"Saya masih belajar daripada jurulatih lain. Pemain sangat bagus. Sebelum ini saya mengendalikan lima pemain tetapi dikurangkan kepada tiga. Saya rasa tiga adalah jumlah terbaik bagi membolehkan saya fokus."