Barisan atlet terjun negara mengambil pendekatan terbuka dalam menyerap segala teknik dan program latihan yang bakal diterjemahkan jurulatih baru, Li Rui dari China, biarpun masa kian suntuk untuk menghadapi Kejohanan Siri Dunia yang akan berlangsung sebulan lagi.

Tidak banyak maklumat yang diperoleh barisan atlet negara mengenai Li Rui yang akan membimbing skuad kebangsaan tatkala masih samar mengenai persoalan siapa yang akan menjadi ketua jurulatih memandangkan Malaysia kini masih mempunyai dua lagi pengendali, iaitu Christian Booker dan Li Teng.

Buat atlet, mereka sudah bersedia dengan apa sahaja program latihan yang bakal diterapkan selagi ia mampu memberi keputusan positif ketika bertanding dalam kejohanan utama kelak.

"Dulu pernah jumpa tetapi saya tidak begitu tahu dengan program latihannya," kata penerjun negara, Leong Mun Yee.

Skuad negara bakal mengharungi Siri Dunia pertama di Sagamihara, Jepun bermula 1 Mac depan dengan beberapa gandingan baru bakal diketengahkan.

Antaranya ialah Mun Yee yang mungkin akan berpasangan dengan penerjun muda, Hanis Nazirul atau Jelson Jabillin bagi acara terjun tiga meter papan anjal seirama campuran manakala Dhabitah Sabri pula bakal bergandingan semula selepas dua tahun dengan ratu terjun kebangsaan, Pandelela Rinong, untuk acara 10m platform seirama.

"Bagi saya, ia mudah. Selagi komunikasi itu dijalankan dengan baik, latihan akan jadi lebih senang untuk dijalankan," ujar Dhabitah.