Tidak cukup dengan sekadar memohon maaf, penerjun negara yang terlibat dalam insiden video mengambil minuman beralkohol di China, Februari lalu, bersedia digugurkan daripada Sukan Asia Indonesia 2018 andai itu adalah hukuman yang sepatutnya dikenakan kepada mereka.

Penerjun senior, Chew Yiwei yang mewakili pasukan dalam sidang media hari ini, akur dengan apa jua hukuman yang bakal dikenakan, termasuk digugurkan daripada kontinjen Malaysia ke Sukan Asia andai itu jalan penyelesaian terbaik buat mereka.

Jelasnya, permohonan maaf sahaja tidak cukup jika dibandingkan dengan kesalahan besar yang telah dilakukan dalam video berkenaan selain melahirkan rasa kesal atas insiden itu.

Justeru, tiada sebab untuk mereka menganggap hukuman pengguguran daripada Sukan Asia sebagai keterlaluan tatkala kelakuan dalam video itu sebenarnya lebih memalukan negara.

"Kami telah mengetahui bahawa tindakan lanjut akan diambil dan kami bertanggungjawab di atas kesalahan ini," katanya.

Yiwei, bagaimanapun, enggan membuat sebarang spekulasi berkenaan individu yang menyebarkan video yang turut memaparkan Pandelela Rinong, Nur Dhabitah Sabri dan beberapa penerjun muda lain walaupun ia mungkin melibatkan rakan sepasukan mereka sendiri.

"Saya tidak akan membuat sebarang spekulasi mencari individu yang menyebarkan video ini."

"Kami akan lebih berhati-hati dalam setiap tindakan kami selepas ini," kata Pandelela.

Imej: #TeamMAS