Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) akhirnya menerima lampu hijau untuk kembali menggunakan venue latihan Lapang Sasar Subang setelah sekian lama menanti.

Ketika ini sedang berlangsung sidang media NSAM yang mengesahkan bahawa venue latihan itu telah diberi kebenaran untuk kembali beroperasi setelah ditutup selama sembilan bulan susulan kes jenayah.

Bagi penembak negara, Ezuan Nasir Khan, dia berasa lega apabila venue itu dibuka semula memandangkan atlet Malaysia sudah tidak mengharungi saingan peringkat kebangsaan dalam tempoh yang lama dalam usaha untuk melakukan persiapan lengkap menuju ke pentas antarabangsa.

Piala Dunia 2019 yang bakal berlangsung di Munich, Jerman bermula esok menyaksikan Ezuan gagal melayakkan diri ke saingan yang menawarkan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu atas faktor kurang pendedahan kejohanan.

Justeru, pembukaan semula Lapang Sasar Subang membuatkan Ezuan bertekad untuk merebut tempat dalam Kejohanan Asia di Doha, Qatar serta Sukan SEA 2019 November depan.

Saksikan perkembangan lanjut yang akan dibawakan oleh Nadi Arena pada jam 7:30 dan 11 malam nanti.