Penampang muncul juara keseluruhan kejohanan Olahraga Sabah Masters Terbuka 2019 yang berlangsung di Kompleks Sukan Likas, di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Kejohanan yang membabitkan seramai kira-kira 400 atlet masters dari dalam dan luar negara itu menyaksikan Penampang meraih 42 pingat emas, 32 perak dan 24 gangsa untuk dinobat sebagai juara keseluruhan.

Pasukan Papar pula muncul sebagai naib juara selepas mengutip 32 pingat emas, 35 perak dan 22 gangsa manakala pasukan SMRC sekadar berpuas hati di tempat ketiga dengan 29 pingat emas, 35 perak serta 24 gangsa.

Sementara itu, beberapa rekod baharu kejohanan turut dicatat termasuk acara lompat bergalah yang dicipta Emerson Oviena dari Filipina bagi kategori 50-54 tahun, Gan Chee Kiong dari Melaka (55-59 tahun) dan Aliudin Jumaat dari pasukan Papar (40-44 tahun).

Acara lompat bergalah juga adalah kali pertama diperkenalkan dalam kejohanan Sabah Masters kali ini.

Presiden Olahraga Masters Sabah, David William yang juga pengerusi penganjur kejohanan dalam kenyataannya hari ini menyatakan kesyukuran dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan kejohanan edisi kesembilan kali ini.

"Pihak penganjur juga ingin merakam ucapan terima kasih kepada pegawai teknikal, Persatuan Palang Merah dari Tuaran dan semua ahli jawatan kuasa SAMOC 2019.

"Syabas dan tahniah juga kepada para atlet yang berjaya dan kepada yang tidak berjaya, diharapkan mereka cuba lagi tahun depan," katanya.