Ketua jurulatih skuad olahraga para negara, R. Jeganathan, berminat untuk bertanding jawatan naib presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) atas keyakinan mampu membawa peranan lebih berkesan sekiranya diberikan peluang.

Selepas bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, mengumumkan kesediaannya bertanding jawatan presiden, Jeganathan pula menyatakan hasratnya untuk menduduki kerusi berbeza.

Tegasnya, dia mahu menjadikan MPM sebagai badan induk yang lebih berkesan bersandarkan kepada pengaruhnya selaku Ahli Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC).

"Jika berpeluang, saya secara terbuka mengumumkan hasrat saya untuk bertanding jawatan naib presiden di mana saya akan menjadi penghubung buat MSN (Majlis Sukan Negara) dan MPM.

"Saya juga ingin menjadi wakil jurulatih dan atlet agar ada seseorang untuk bercakap mewakili mereka," katanya.

Dalam masa sama, Jeganathan akan merujuk kepada MSN berkenaan statusnya selaku kakitangan badan induk itu.

"Jika ada kelulusan dan terdapat pencalonan terhadap saya, saya mahu meletakkan MPM dan MSN di tahap tertinggi.

"Daripada kosong, kami telah membawanya ke tahap yang lebih tinggi dan saya mahu bekerja dengan lebih baik untuk memberikan sumbangan di peringkat pengurusan," tambahnya.