Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, tidak menolak akan ada kejutan yang bakal berlaku dalam pemilihan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) sebelum tarikh tutup pencalonan pada jam 5 petang esok.

Kurang 24 jam, peluang masih terbuka kepada mana-mana calon yang ingin merebut jawatan dalam badan induk itu, termasuk kerusi nombor satu MOM.

Debaran kian terasa tatkala Beng Choo turut bersedia menghadapi sebarang kejutan sewaktu penamaan calon yang dijangka diumumkan pada jam 6 petang esok sambil kemungkinan beberapa nama yang sebelum ini tidak dikaitkan turut terlibat dalam perebutan jawatan.

Dia berharap sesiapa pun yang bakal bertanding tetap dengan misi mendapatkan kerjasama sebuah pasukan bagi meneruskan legasi Tunku Imran Tuanku Ja,afar dengan lebih baik.

"Memang terdapat laporan di luar tetapi kami harus menunggu sehingga masa pencalonan tamat esok bagi mengenal pasti calon-calon serta jawatan yang mereka bertanding.

"Di Malaysia, demokrasi dipraktikkan. Jadi, ia terpulang kepada persatuan kebangsaan kerana undi berada dalam tangan mereka," katanya.

Beng Choo sedar kedudukannya juga tidak terjamin untuk kekal sebagai setiausaha agung apabila Timbalan Presiden Taekwondo Malaysia, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, turut dikaitkan mencabar jawatan itu di samping jawatan timbalan presiden.

"Selama tiga tahun, persatuan telah memberikan peluang kepada saya untuk menyambung khidmat.

"Memang perubahan telah dilakukan kepada MOM dan saya berharap agar sokongan dapat diberikan bagi melanjutkan perkhidmatan saya sebagai setiausaha agung," katanya lagi.