Calon presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk S. M. Muthu, mengakui mewujudkan gandingan bersama Datuk Seri Shahidan Kassim, yang turut dicalonkan merebut jawatan nombor dua persatuan itu menjelang mesyuarat agung tahunan (AGM), hujung bulan ini.

Situasi itu akan memberikan cabaran terhebat buat Datuk Karim Ibrahim, yang bergelar presiden KOM sejak 2014.

Ia selepas Muthu dikhabarkan mencipta pakatan dengan Shahidan untuk merebut jawatan nombor satu dan dua dalam badan induk olahraga itu.

Shahidan akan berdepan cabaran daripada Datuk Paduka Mumtaz Jaafar bagi jawatan timbalan presiden.

"Saya memang berpuas hati kerana kritikan saya dalam beberapa perkara banyak membantu kami untuk mendapatkan peruntukan dan jurulatih buat atlet," kata Karim dalam respons segeranya.

"Setakat ini segala-galanya berjalan dengan lancar.

"Selama ini, saya tidak pernah menyorokkan apa-apa dan bersikap terbuka.

"Saya serahkan segala-galanya kepada ahli gabungan dan perwakilan kerana saya memiliki keyakinan terhadap mereka," katanya.

"Kem atau apa-apa sahaja tidak menjejaskan apa-apa. Sesiapa sahaja boleh masuk (bertanding) dan buat kem. Sesiapa sahaja yang memberikan sokongan, kami pasti akan bekerjasama dengan mereka, itu sahaja," kata Muthu pula.