Ketika umat Islam di Malaysia bersiap untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga, atlet memanah negara adalah antara warga sukan tanah air yang terpaksa melakukan pengorbanan apabila masih giat menjalani latihan untuk menyertai kejohanan antarabangsa.

Mereka ialah Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamaruddin, Akmal Nor Hasrin dan Zarif Syahir Zolkepeli.

Keempat-empat pemanah negara itu kini melakukan persediaan untuk menyertai Piala Dunia di Amerika Syarikat, dari 18 hingga 24 Jun ini.

Kejohanan itu sememangnya cukup penting buat barisan pemanah negara untuk menghadapi Sukan Asia, Ogos depan.

"Selepas pulang ke Malaysia, kami tidak akan banyak berehat kerana kami terus memberi tumpuan kepada jadual latihan untuk menghadapi Piala Dunia peringkat ketiga di Amerika Syarikat," kata Khairul Anuar.

"Sekarang ini, kami sedang membuat persiapan untuk Piala Dunia peringkat ketiga. Jadi, kami perlu bersiap sedia untuk berangkat pada jam 3 pagi Sabtu ini," kat Akmal.

Sementara itu, tinjauan Nadi Arena mendapati kawasan Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil sudah lengang daripada aktiviti harian atlet.

Difahamkan, ramai atlet negara sudah diberi pelepasan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Aidilfitri.