Pemain negara, Ho Ying, berpendapat langkah Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) membawa dua pemain dari China sebagai rakan sepelatih perlu diteruskan untuk membantu meningkatkan tahap pemain-pemain negara.

Kejohanan Komanwel di Odisha, India bulan depan bakal menjadi ujian pertama skuad ping pong negara sebelum misi utama mereka dalam Sukan SEA Filipina akhir tahun ini.

Bagaimanapun, pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel 2018, Ho Ying, berkata tempoh dua minggu adalah terlalu singkat untuk melihat peningkatan dan mengharapkan TTAM mampu melanjutkan sesi bersama pemain dari China itu.

"Dalam skuad memang ramai pemain tetapi rakan sepelatih itu kurang. Mungkin masa latihan yang diraih juga tidak begitu banyak. Jadi, jika mereka datang dalam tempoh yang lama, ia boleh banyak membantu," katanya.

Kapten negara, Ashraf Haiqal Rizal, turut memuji pemilihan badan itu mengenai rakan sepelatih walaupun dalam tempoh yang singkat.

"Kalau orang lebih percayakan pemain dari China kerana semua orang tahu mereka adalah kuasa dunia, jadi mahu atau tidak, kami perlu pelajarinya daripada mereka. Ternyata mereka lebih bagus," ujarnya.

Dalam saingan Sukan SEA 2019, TTAM akan menghantar empat pemain lelaki dan empat wanita dalam acara perseorangan, beregu lelaki dan wanita serta beregu campuran.