Ketua jurulatih skuad futsal Perlis, Qusmaini Noor Rusli, mengakui beberapa pemain utamanya bakal "angkat kaki" menyertai pasukan lain tatkala Liga Futsal Profesional bakal membuka tirai dua bulan lagi.

Skuad futsal Perlis sebelum ini tampak serius untuk mencabar kejuaraan 2019 selepas memborong 19 pemain kebangsaan, namun Qusmaini menyatakan kemelut tunggakan gaji merencatkan persiapan skuad kendaliannya itu untuk merebut gelaran juara Liga Futsal Profesional yang buat julung kalinya diadakan tahun ini.

Qusmaini berharap agar pihak Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) mampu menyelesaikan isu itu segera atau berdepan kemungkinan hilang khidmat beberapa pemain.

"Majoriti pemain yang akan meninggalkan pasukan adalah yang berstatus kebangsaan dan mereka perlukan hak kebajikan dijaga dengan baik.

"Apabila ada masalah dengan pembayaran gaji, ia menguatkan mereka menyatakan hasrat itu. Saya masih berbincang dengan mereka," kata Qusmaini.

Sementara itu, Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie, mahu mengutamakan isu tunggakan gaji skuad bola sepak Liga Perdana sebelum memberi tumpuan kepada pasukan futsal Perlis.

Ketika ini, skuad futsal Perlis menerima nasib sama dengan pasukan bola sepak Singa Utara yang masih belum menerima gaji selama dua bulan.

Bagaimanapun, Ahmad Amizal optimis mampu menyelesaikan isu tunggakan gaji kedua-dua pasukan itu sambil mengharapkan barisan pemain dan jurulatih dapat memberi lebih masa.

Dalam pada itu, tiada halangan buat Ahmad Amizal jika ada pemain yang mahu meninggalkan pasukan dan menyertai pasukan lain, cuma mereka perlu menghantar surat rasmi kepada PFA.

"Memang saya berjanji dengan pemain futsal bahawa ia akan cuba diselesaikan pada 7 Februari tetapi disebabkan ada kekangan lain, kami membuat keputusan untuk menyelesaikan dulu pembayaran pemain skuad bola sepak, kemudian pasukan futsal dan lain-lain," ujar Ahmad Amizal.

Selepas dua bulan PFA melakukan transformasi terhadap skuad futsal Perlis, Ahmad Amizal menafikan kemelut itu bakal menjadi faktor pasukan itu terkubur semula.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, pula bimbang isu kelewatan membayar gaji pemain akan meningkatkan penularan kes rasuah dalam kalangan pemain bola sepak.

Ini kerana 'bookie' mudah mendekati pemain yang tertekan dengan isu kewangan, sekali gus menjerat mereka untuk mengambil rasuah.

"Kita tidak boleh bersikap remeh-temeh (dalam soal gaji) kerana ia berkait rapat dengan kebajikan atlet.

"Mentaliti mereka dalam keadaan sukar apabila mewakili skuad negara.

"Isu ini perlu ditangani tetapi tidak bolehlah mengharapkan kerajaan sahaja, semua pihak harus bekerjasama," ujarnya.