Dua kali dipinggirkan daripada Sukan Komanwel tidak melemahkan semangat atlet boling padang wanita kebangsaan, Zuraini Khalid, yang masih mahu memberikan sumbangan kepada negara selagi diperlukan.

Pemenang pingat perak Sukan Komanwel 2010 dalam acara berpasangan wanita itu semakin sukar merebut tempat dalam skuad sejak peningkatan prestasi dipamerkan beberapa atlet lain.

Kegagalan menempatkan diri dalam lima slot yang ditawarkan dalam skuad Sukan Komanwel 2018 masih pahit untuk ditelan Zuraini kerana ia merupakan kegagalan kedua berturut-turutnya selepas temasya Glasgow 2014.

Bagaimanapun, Zuraini enggan menyalahkan sesiapa atas kegagalan berkenaan, sebaliknya menjurus kepada diri sendiri kerana gagal menyerlah dalam sesi terakhir pemilihan.

"Saya berdepan persaingan yang sengit dan dari kaca mata jurulatih pula, ada pemain yang lebih baik. Oleh itu, saya perlu akur dengan keputusan jurulatiih.

"Mungkin disebabkan prestasi menurun semasa dalam Terbuka Australia, saya tidak terpilih," katanya.

Ketiadaan Nur Fidrah Noh yang direhatkan kerana pembedahan lutut. membuka ruang kepada Zuraini untuk tersenarai dalam Kejohanan 12 Negara di Wales, bulan depan.

Justeru, dia berharap mampu memperagakan prestasi terbaik bagi meyakinkan semula jurulatih, Simon Botha, untu kembali meletakkan dirinya sebagai aset penting buat pasukan.

"Nama saya tersenarai untuk menghadapi Kejohanan 12 Negara di Wales. D situ nanti, saya akan cuba mempamerkan aksi terbaik sebab dah lama sangat simpan (hasrat untuk bertanding)," katanya.