Peluang kapten skuad ragbi tujuh sebelah (7s) kebangsaan, Zulkiflee Azmi, untuk mewakili negara dalam misi mempertahankan pingat emas dalam Sukan SEA Filipina 2019 masih terbuka.

Ia susulan Majlis Sukan Negara (MSN) bersedia berbincang dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai pelepasannya untuk mengikuti program latihan bersama skuad kebangsaan selain menyertai beberapa siri kejohanan antarabangsa menjelang temasya dwitahunan itu.

Zulkiflee ketika ditemui pemberita selepas pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dalam program Jom Jumpa Kami Team KBS di MSN hari ini, berkata perkembangan itu melegakan dia yang masih mempunyai keinginan menyarung jersi kebangsaan.

“Apa Yang Berhormat (Syed Saddiq) beritahu tadi, MSN akan menghantar surat kepada PDRM untuk bincangkan mengenai situasi saya, termasuk pelepasan menjalani latihan untuk menghadapi Sukan SEA.

“Sebelum ini, ada juga beberapa atlet berdepan situasi sama seperti saya, jadi ia mungkin tidak akan jadi masalah untuk saya terus beraksi bersama skuad kebangsaan,” katanya.

Sebelum ini, Zulkiflee berdepan kemungkinan tidak akan bersama skuad ragbi 7s kebangsaan ke Sukan SEA selepas bakal mengikuti kursus asas kadet inspektor PDRM di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur selama sembilan bulan bermula 10 Feb ini.

Pada masa sama, atlet berusia 27 tahun itu menyifatkan program pertemuan tersebut sebagai satu usaha ke arah mengeratkan hubungan di antara MSN dan atlet selain memberi peluang kepada menteri untuk mendengar sendiri masalah dihadapi atlet.

“Saya rasa pertemuan dan perbincangan seperti ini sangat bagus kerana atlet boleh luahkan apa sahaja masalah mereka. YB juga menunjukkan sokongan yang positif dalam membantu menyelesaikan masalah,” katanya.

Selain Zulkiflee, turut hadir bertemu Syed Saddiq dalam program tersebut adalah beberapa individu yang mewakili persatuan belia.