Atlet olahraga para negara, Ahmad Solihim Mohd Nor, menganggap peluangnya untuk tersenarai ke Sukan Komanwel Gold Coast 2018 sudah terkubur memandangkan tarikh rayuan tamat hari ini.

Solihim, yang beraksi bagi acara 100 meter T46, sepatutnya ke Gold Coast bersama-sama Afiq Ali Hanafiah sehingga pengurus skuad para negara ke Sukan Komanwel, Datuk R. Subramaniam, mengesahkan hanya Afiq yang tersenarai tatkala Solihim masih dalam rayuan.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang perkembangan dan pemenang pingat emas Sukan Para ASEAN 2017 itu sudah tidak meletakkan sebarang harapan lagi untuk beraksi dalam Sukan Komanwel.

Biarpun sedikit kecewa, namun Solihim menyifatkan latihan harus diteruskan seperti biasa.

"Memang saya sedikit kecewa kerana perkara ini melibatkan aspek teknikal dan bukan disebabkan saya tidak layak. Ia disebabkan masalah yang tidak diketahui kerana situasi itu bukan urusan saya.

"Saya hanya perlu fokus terhadap latihan, sertai latihan dan tampilkan persembahan terbaik," katanya.

Solihim tetap bersyukur apabila tidak berdepan sebarang kecederaan yang boleh menjejaskan sesi latihannya dan kini hanya ingin fokus untuk meraih pingat di pentas Sukan Para Asia di Jakarta sahaja pada Oktober depan.

"Pengalaman sebelum ini telah mengajar saya. Sebelum ini, saya terpaksa menjalani proses pemulihan selama lebih setahun. Syukur kini saya tidak berdepan masalah untuk mengharungi latihan penuh," tambahnya.