Buat julung kalinya, peminat sukan tempatan berpeluang untuk mengundi atlet pilihan mereka sempena Anugerah SAM-100Plus 2017 menerusi Anugerah Personaliti Sukan 100Plus Active.

Seramai 12 atlet berada dalam senarai akhir bagi anugerah itu berdasarkan pencapaian mereka sepanjang 2017, antaranya pemain skuad bola sepak B-22 negara, N. Thanabalan, Gavin Kyle Green (golf) serta ratu boling negara, Shalin Zulkifli.

Undian boleh dilakukan menerusi laman sesawang rasmi 100Plus bermula 13 hingga 28 Februari ini.

Presiden SAM, Ahmad Khawari Isa, berkata pembabitan peminat kali ini selaras dengan tema, iaitu meraikan sukan Malaysia, selepas tahun 2017 menyaksikan pelbagai pencapaian cemerlang diraih oleh atlet negara.

"Temanya adalah Ayuh Raikan Sukan Malaysia, jadi kami mahu semua pemegang taruh yang penting sama-sama menggemilangkan Anugerah SAM kali ini," katanya.

Anugerah SAM-100Plus 2017 anjuran Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) akan berlangsung pada 1 Mac ini, dengan dua anugerah utama menjadi tumpuan, iaitu atlet terbaik SAM serta atlet para terbaik SAM 2017.

Selain itu, lebih 200 penyertaan telah diterima oleh SAM untuk tujuh kategori anugerah kewartawanan dengan salah satu daripadanya bakal merangkul Anugerah Siebel.