"Azlan akan terangkan kepada ahli," itu komen ahli lembaga pengarah Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Noorul Ariffin Abd Majeed, mengenai isu kewangan yang melanda pengerusi, Azlan Iskandar, menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), Sabtu ini.

Azlan berpeluang memberikan penjelasan mengenai status kewangan YAKEB dan kontroversi yang melanda dirinya dalam AGM itu.

Ia dijangka menjadi topik perbincangan hangat selepas YAKEB hampir ditutup ekoran masalah dana.

Justeru, Noorul Ariffin meminta ahli YAKEB sekitar 2,500 orang dapat menghadiri AGM itu bagi mendengar sendiri penjelasan mereka.

"Ini adalah peluang Azlan untuk mencerahkan namanya semula. KBS dan ahli perniagaan, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin, telah menghulurkan bantuan dana bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi YAKEB," katanya.

YAKEB hampir ditutup ekoran masalah dana, Julai lalu. Badan yang membantu kebajikan bekas atlet negara ini diwujudkan pada 2008 dan sudah membantu ribuan jagoan negara yang meniti usia senja.