Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, mengakui terkejut seorang atlet negara terlibat dengan kes doping dalam Sukan Komanwel Gold Coast, 4-15 April lalu.

Beliau berkata ia kerana pelbagai usaha sudah giat dijalankan MSN dengan kerjasama Institut Sukan Negara (ISN) dan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) dalam menangani penggunaan bahan terlarang dalam kalangan atlet.

Namun, pembabitan terkini atlet negara dengan kes doping tidak melemahkan hasrat MSN untuk terus memeranginya.

Jelas Shapawi, MSN akan terus menggiatkan usaha bersama ISN dan ADAMAS dalam mewujudkan kesedaran mengenai penggunaan bahan terlarang.

"Sudah tentu kami kecewa dan sedih dengan apa yang berlaku. Selepas berulang kali berusaha memberikan pendedahan dan perjumpaan oleh pihak ADAMAS, ISN dan MSN, ia tetap terjadi.

"Ia akan memberikan satu kesan besar kepada dunia sukan Malaysia," kata Shapawi.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, semalam mengesahkan seorang atlet kebangsaan gagal ujian air kencing dalam temasya itu.