Ketua jurulatih skuad skuasy negara, Peter Genever, berpandangan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) perlu bersedia untuk menerima keputusan Datuk Nicol David seandainya ratu skuasy itu berhasrat untuk menggantung raket.

Jelasnya, apa jua alasan yang mendorong Nicol berbuat demikian, ia pastinya demi kebaikan pemain itu sendiri tetapi percaya dia akan kembali ke gelanggang dengan kapasiti yang berbeza.

Walaupun mengakui pencapaian serta kehebatan Nicol sukar untuk ditandingi, pemain-pemain wanita negara yang lain pasti menjadikan pemain berusia 36 tahun itu sebagai contoh terbaik buat mereka.

"Malaysia sememangnya sudah bersedia untuk menghadapi perjuangan dalam skuasy tanpa Nicol, khususnya untuk menghadapi kejohanan besar.

"Sudah tentu ketiadaannya akan memberikan impak besar kepada kem kebangsaan, baik di dalam dan luar gelanggang tetapi saya membayangkan dia akan kekal bersama pasukan negara dengan peranan berbeza.

"Saya juga tidak pasti sama ada dia memutuskan untuk tidak lagi beraksi dalam Jelajah PSA atau mewakili negara (dalam kejohanan bertemasya)," ujar jurulatih itu.

Dalam pada itu, pemain skuasy negara, Mohd Syafiq Kamal, mahu semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh Nicol sentiasa diikuti oleh setiap pemain negara.

"Selepas ini, pemain pelapis wanita khususnya perlu meningkatkan mutu permainan mereka ketika menghadapi Kejohanan Dunia, Sukan Asia mahu pun Sukan Komanwel.

"Namun, kami bersedia kehilangannya memandangkan dia sudah menempa banyak kejayaan," kata Syafiq.