Skuad angkat berat negara dikejutkan dengan insiden kemalangan membabitkan atlet pelapis kebangsaan, Muhammad Rashdan Mat Sulaiman, yang koma selepas bebanan seberat 130kg menimpanya ketika berlatih di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Rashdan, yang berpuasa ketika berlatih semalam, cuba melakukan angkatan rutin 130kg.

Bagaimanapun, berlaku masalah teknikal ketika dia meletakkan bebanan sehingga menghempap tubuhnya.

Akibat kemalangan itu, atlet kelahiran Selangor itu mengalami kecederaan di bahagian perut dan dikejarkan ke Hospital Serdang.

Difahamkan, dia sudah menjalani pembedahan dan insiden itu sudah dimaklumkan kepada keluarganya di Kuala Selangor.

"Alhamdulillah, Rashdan telah selamat menjalani pembedahan pada jam 3.30 pagi tadi di Hospital Serdang.

"Doktor memaklumkan keadaan Rashdan kini stabil dan dia mula sedarkan diri.

"Terima kasih kepada MSN yang telah bertindak segera menghantar Rashdan ke hospital untuk mendapatkan rawatan," kata bapanya, Mat Sulaiman Mat Som.

Pegawai MSN sedang memantau perkembangan Rashdan di Hospital Serdang sejak kemalangan itu.