Pemerhati sukan negara, Dr. Mohd Faithal Hassan, menggesa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) agar mempercepatkan pelantikan Pesuruhjaya Sukan (PJS) selepas seorang individu yang memiliki kepakaran dalam aspek perundangan sukan dikaitkan sebagai calon terbaik.

Jawatan PJS tiada pengganti sejak penyandangnya, Datuk Zaiton Othman, bersara Mei lalu.

Minggu lalu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, mengesahkan pihaknya sedang meneliti tiga calon terakhir dan perlu masa yang sesuai untuk membuat pengumuman.

Namun, kelewatan itu kian merumitkan kemelut dalaman persatuan sukan kebangsaan.

"Menteri tidak boleh mengamalkan sikap pilih kasih dalam menangani sesuatu masalah.

"Contohnya, masalah dalam sukan permotoran diambil dengan serius tetapi apabila masalah timbul ke atas Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Persekutuan Karate-do Malaysia (MAKAF), menteri seperti tidak berani untuk menyelesaikan masalah tersebut.

"Ini merupakan satu masalah yang belum pernah berlaku dalam KBS," ujarnya.

Tambahnya, "Jantina lelaki mahupun perempuan tidak memberi kesan terlalu besar kepada PJS, apa yang lebih penting adalah pengetahuan dan latar belakang perundangan yang ada pada mereka," katanya.