Ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, berdepan tugas berat untuk layak menyertai Kejohanan Dalam Dewan Dunia di Birmingham, England, Mac depan.

Ini kerana dia perlu melepasi had kelayakan, 7.30 saat bagi acara pecut 60 meter, jauh berbanding rekod kebangsaan miliknya.

Zaidatul adalah antara tiga atlet negara yang akan menyertai Kejohanan Dalam Dewan Asia di Tehran, Iran, bulan depan. Dia pernah membuat penampilan dalam kejohanan yang sama di Qatar tahun lalu dan berjaya memecahkan rekod kebangsaan dengan masa 7.61 saat.

Bagaimanapun, had kelayakan 7.30s yang ditetapkan untuk layak ke Birmingham, menyaksikan pelari kelahiran Pulau Pinang itu berdepan tugas sukar.

"Ini merupakan peluang kedua saya dalam Kejohanan Dalam Dewan Dunia dan ia adalah sasaran saya.

"Saya perlu bekerja keras untuk lebih agresif di blok permulaan," kata Zaidatul.

Dua lagi wakil negara ke Tehran ialah pelari 110m berpagar, Rayzamshah Wan Sofian dan Nixson Kennedy.

Setakat ini, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memilih jaguh lompat kijang, Muhammad Hakimi Ismail, ke Birmingham untuk mengisi slot 'wildcard'.

Namun, tiket itu akan terbatal secara automatik jika ada atlet negara melepasi kelayakan secara merit.

"Sebelum ini, Institut Sukan Negara (ISN) telah mengadakan satu ujian dan dia mencatat 7.36s.

"Sebab itulah apabila diminta menyenaraikan seorang atlet pada minggu lepas, saya mencadangkan nama Zaidatul sebab dia ada pengalaman," kata jurulatih pecut negara, M. Balamurugan.