Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) berharap cabaran dan kesukaran dalam mengumpul dana ke Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia 2018 berbaloi dengan misi meraih dua gelaran juara mampu dicapai.

PBBM tidak menolak bergelut untuk memastikan dana mencukupi bagi menghantar enam atlet menyertai Kejohanan Dunia dalam edisi ini.

Perbelanjaan tahun ini mencecah sehingga RM70,000 membabitkan peruntukan seperti tiket penerbangan dan yuran penyertaan yang turut dibantu oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Dengan pelbagai kesukaran dihadapi dalam mengumpul dana tahun ini, PBBM tidak menganggap itu sebagai beban, sebaliknya ingin usaha itu terbayar dengan kejayaan atlet meraih gelaran Mr Universe.

"Kami buat apa sahaja yang mampu. Sebab itu apabila tajaan mahu masuk sekadar untuk menyediakan pakaian, kami terima. Ia juga memberi kesan kepada kewangan.

"Dalam masa sama, kami juga berterima kasih kepada MSN yang berbelanja untuk kami tetapi kalau boleh, lebihkan sedikit dana itu," ujar Setiausaha Kehormat PBBM, Kamarulzaman Kadir.

Atlet negara, Syarul Azman Mahen Abdullah, yang kini dalam pemburuan gelaran hatrik Mr Universe enggan melihat sasaran itu sebagai satu tekanan kerana persiapan di saat-saat akhir ini cukup penting bagi memastikan persediaan mental di tahap terbaik.

"Memang saya ada sedikit tertekan kerana perlu mempertahankan kejuaraan. Menteri Belia dan Sukan juga ada bertanya kepada saya. Kalau boleh, saya mahu mendapatkan kejayaan ini buat Malaysia," kata Syarul.