Kontinjen Perak menguasai acara memanah compound berpasukan dalam Para Sukma 2018 selepas memenangi dua daripada tiga pingat emas yang dipertandingkan hari ini.

Hasrat tuan rumah untuk menyapu bersih pingat emas dalam acara berpasukan compound tidak menjadi kenyataan selepas hanya meraih emas dalam acara berpasukan lelaki dan wanita.

Dalam acara berpasukan lelaki, gandingan K. Morogen dan K. Kumar unggul menewaskan gandingan dari Sabah, Adnan Sahabi dan Ramdi Rahimin, 143-131 untuk meraih emas.

Acara berpasukan wanita pula menyaksikan gandingan Nor Sa'adah Abd Wahab dan Nur Jannaton Abdul Jalil mengekalkan penguasaan tuan rumah dengan menewaskan pasangan Sabah, Lidwina Isidore Andilah dan Nurizzati Zahidah Hasanuddin, 129-109.

Namun, Morogen dan Nor Sa'adah yang merupakan gandingan emas Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017, gagal meneruskan rentak cemerlang selepas tewas kepada pasangan Ramdi dan Lidwina, 139-143, sekali gus akur kehilangan pingat emas acara berpasukan campuran di tangan kontinjen Sabah.