Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menganggap jumlah penyertaan dalam Para Sukma 2018 di Perak sebagai menggalakkan dalam usaha untuk mengetengahkan lebih ramai atlet di pentas yang lebih tinggi.

Para Sukma 2018 menyaksikan penyertaan 1,315 atlet yang merangkumi 15 kontinjen terdiri daripada 13 negeri serta dua Wilayah Persekutuan yang akan bertanding dalam 10 jenis sukan.

Walaupun jumlah itu mengalami kemerosotan berbanding penyertaan 1,407 atlet dalam edisi di Sarawak, dua tahun lalu, Timbalan Presiden MPM, John Ng, tetap mengambil positif situasi itu memandangkan sukan para masih menjadi tumpuan susulan kejayaan kontinjen negara dalam Sukan Para Asia Indonesia, bulan lalu.

Bagaimanapun, jumlah sebenar atlet yang akan mengambil bahagian dalam saingan kali ini hanya dapat diketahui selepas selesai proses klasifikasi esok.

"Ia sesuatu yang baik memandangkan ia bukan sahaja membuka rezeki tetapi juga memberikan makna baru dalam kehidupan mereka," katanya.

Dalam pada itu, John akui masih terdapat kekeliruan dalam proses klasifikasi atlet sehingga wujud pelbagai persoalan oleh wakil kontinjen yang mengambil bahagian dalam Para Sukma kali ini.

Malah, ia menjadi antara tumpuan utama dalam siri pertama Mesyuarat Ketua Kontinjen Para Sukma, namun MPM akan berusaha untuk memastikan ia tidak akan menjejaskan persiapan setiap kontinjen dalam edisi Para Sukma berikutnya di Johor pada 2020.

"Penilaian perlu dilakukan dari semasa ke semasa.

"MPM akan mengadakan lebih banyak bengkel bagi memberikan kesedaran dan pemahaman tentang proses itu, terutama melibatkan pegawai-pegawai teknikal," katanya lagi.