Kehebatan kontinjen Sarawak dalam Para Sukma Perak 2018 nyata tiada tandingan selepas kontinjen itu muncul juara keseluruhan.

Selepas tampil dengan jumlah kontinjen yang cukup bersedia dalam saingan kali ini, Sarawak menjadi pilihan utama sejak awal temasya.

Mereka juga mengambil keputusan untuk menginap di hotel berbanding perkampungan sukan yang disediakan penganjur.

Saingan sepanjang lima hari itu menyaksikan mereka meraih 61 pingat emas, 62 perak dan 40 gangsa untuk mengatasi Sabah di tangga kedua dan tuan rumah, Perak, ketiga.

Walaupun tidak mencapai sasaran awal sebanyak 77 pingat emas, Pengurus Kontinjen Sarawak, Matthew Chin, amat berpuas hati dengan persembahan keseluruhan yang ditampilkan.

Secara keseluruhan, mereka muncul juara buat kali ke-13 berturut-turut sejak saingan Paralimpiad diadakan pada 1994.

"Terdapat beberapa acara mengalami penurunan penyertaan, terutama renang.

"Gara-gara itu, kami kehilangan beberapa pingat emas.

"Saya menghormati setiap kontinjen yang bertanding kerana telah membuktikan mereka juga mempunyai barisan atlet yang baik," katanya.

Matthew, bagaimanapun, mengakui kualiti atlet yang mengambil bahagian kali ini lebih baik berbanding beberapa edisi sebelum ini dan percaya cabaran lebih sukar buat negeri Bumi Kenyalang itu bagi mempertahankan gelaran di Johor nanti.

Namun, dengan pembabitan beberapa atlet muda dalam kempen kali ini, dia percaya Sarawak mempunyai asas yang baik bagi membentuk satu lagi kontinjen berdaya saing, dua tahun lagi.

"Kami mempunyai ramai atlet muda yang menyerlah dalam edisi kali ini.

"Kami sudah pasti akan turun dengan kekuatan atlet muda yang baru dalam temasya di Johor, dua tahun akan datang," tambahnya.